Duterte menang kerusi Datuk Bandar Davao City

 BERITA HARIAN

Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

MANILA: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, hampir pasti dipilih sebagai Datuk Bandar Davao, kampung halamannya dengan mendapat sokongan majoriti meskipun ditahan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan pembunuhan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Dengan 80 peratus undi dikira dalam pengiraan tidak rasmi, Duterte yang dibawa ke The Hague pada Mac berhubung 'perang dadah' berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa, mendahului pertandingan jawatan Datuk Bandar Davao dengan lapan kali lebih banyak undi berbanding pesaing terdekatnya.

Kemenangan dalam pilihan raya pertengahan penggal di seluruh negara itu membuktikan pengaruh berterusan lelaki berusia 80 tahun itu di bandar selatan terbabit disebabkan reputasinya sebagai pembanteras jenayah yang memberinya gelaran 'Duterte Harry' dan 'The Punisher'.

Akaun Facebook lama Duterte dibanjiri dengan mesej tahniah daripada penyokong dengan sesetengahnya menyeru supaya beliau kembali berkhidmat untuk rakyatnya."Tahniah, Tatay (bapa) D! Mari bawa beliau pulang," tulis salah satu komen.

Duterte menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang dibicarakan di ICC.

Penahanannya yang mengejut oleh polis Filipina atas permintaan ICC menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokongnya, yang menyifatkannya sebagai penculikan atas arahan mahkamah asing.

Beliau mempertahankan tindakan keras terhadap dadah itu dan pasukan peguamnya menyatakan bahawa penangkapannya adalah tidak sah.

ICC menegaskan ia mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa jenayah yang didakwa dilakukan sebelum Duterte menarik balik Filipina daripada perjanjian penubuhan ICC pada 2019.

Walaupun kes ICC juga merangkumi dakwaan pembunuhan suspek jenayah oleh 'skuad maut' di Davao semasa Duterte menjadi Datuk Bandar yang dinafikan olehnya, penganalisis menyatakan penangkapannya hanya mengukuhkan sokongan terhadapnya dan keluarganya, di Davao dan luar kawasannya.

Dua anak lelaki bekas presiden itu juga dijangka memenangi jawatan yang mana, seorang dipilih semula sebagai ahli kongres, manakala seorang lagi memenangi pertandingan untuk jawatan Timbalan Datuk Bandar Davao dan berkemungkinan akan berkhidmat menggantikan bapanya.

Ketahanan politik keluarga dan dominasi mereka di Davao mungkin menjadi penentu ketika anak perempuan Duterte yang popular, Naib Presiden Sara Duterte menghadapi perbicaraan pemecatan yang boleh menghalangnya daripada berpolitik seumur hidup jika disabitkan kesalahan, sekali gus memusnahkan sebarang harapan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Ditanya lebih awal semalam mengenai kemenangan bapanya yang dijangka, beliau berkata perancangan akan dibuat untuk mengangkat sumpah jawatan beliau sebagai Datuk Bandar.

"Peguam ICC berkata apabila kami mendapat dokumen pengisytiharan, kami akan bincangkan bagaimana beliau boleh mengangkat sumpah," katanya.

Posting Komentar

0 Komentar